Sunday, 16 February 2014

Tahajjud

Detik jam 12:18 pagi, dihening malam 16 Februari 2014, inilah kali pertama aku bermunajat sepenuh jiwaku, selama mana aku menduduki rumah ini, itulah tahajjud yang pertama. "حسبنا الله ونعم الوكيل" Itu sahaja ungkapanku yang utama. 

"Bersihkan hatiku, serahkan seluruh jiwaku, jasadku, hidupku hanya kepadaMu. Biar akhirku dalam syurgaMu, redhaMu yg aku tujukan. Sujudku terlalu kurang, namun malam ini aku tenang, dalam penyerahan jiwa ini oh Tuhan. Aku tahu Kau dengar, aku tahu malaikatMu sedang mencatat disekitarku, Aku hamba yg lemah, ibadatku sangat kurang, terlalu sedikit, sangat aku malu meminta-minta daripadaMu, tetapi siapa lagi yang boleh beri... Hanya Engkau."

"Perbetulkan akhlakku ke atas landasanMu, kuatkan dan pertambahkan imanku, biar jiwaku dan jasadku hanya untukMu, dari situ juga aku yakin keluargaku terpimpin. Tuhan, aku bermunajat kepadaMu."



Faiz Kamal
12:51 pagi
16 Rabi' al-Akhir 1435 - 16 Februari 2014
Seksyen 3, Bandar Baru Bangi
Selangor.

Tuesday, 7 January 2014

Hari Ini Hidupku Bermatlamat

Darjah 5, tahun 2001, bukanlah aku jenis budak yang mengetuai, walaupun hanya 3 orang dalam kumpulan sekawan. Jika ke kantin, ke tandas, ke surau, aku hanya jadi pengikut. Tamat suatu waktu, balik kelas seperti biasa, itu pun ikut orang juga. Mungkin hampir seluruh kehidupanku waktu sekolah rendah begitu. Hari demi hari, sama sahaja.

Namun ada satu ketika selepas rehat, sebelum loceng berbunyi, aku tersedar bilamana aku berjalan, mereka pula yang ikut kemana aku berjalan, aku berhenti mereka pun turut berhenti. Pada asalnya aku yg ikut mereka, mungkin pada waktu itu aku yang berjalan paling hadapan, jadi mereka pun ikut sahaja aku ke mana-mana sahaja arahku tanpa tujuan. Akhirnya, aku tolak salah seorang daripada mereka, sama ada aku kata "kau lah jalan dulu," atau "janganlah ikut aku," dengan tersenyum sedikit, mungkin sebab rasa malu orang lain ikut.

Entah bila aku sedar, mungkin 10 tahun kemudian, peristiwa itu membuatkan aku berfikir sedalam-dalamnya yang betapalah dahulu aku selalu bergerak tanpa matlamat. Betapa kurangnya aku berdikari di atas kakiku sendiri, kemana orang pergi, aku ikut, kemana orang berhenti, aku berhenti. Walaupun mereka juga bukan jenis yang mengetuai. Berapa banyak masa yang sudah aku habiskan begitu sahaja. Sangat lemah aku dalam buat keputusan haluanku sendiri.

Dari situ aku lebih prihatin akan haluan hidup. Aku adalah aku, aku yang mengawal siapa aku pada akhirnya. Ada nasihat, aku yang tentukan untuk dijadikan panduan dalam hidupku atau tidak. Esok lusa, siapa aku, sepatutnya hari ini kau sudah tahu. Kerana kau yang tentukan pilihanmu itu sendiri.



Faiz Kamal
4:06 petang
6 Rabi’ al-Awwal 1435 – 7 Januari 2014
Taman Greenwood, Gombak
Selangor.